Tuesday, March 22, 2022

MENERIMA AMANAH : SEBUAH PENGHARAPAN

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Segala puji hanya kepada Allah, Tuhan semesta alam. Ya Allah, dengan redhaMu aku mohon agar amanah yang diterima ini dapat digunakan sebaiknya. satu lagi pengharapan dan saya yakin kepercayaann dari pihak pengurusan sekolah buat saya. Untuk tahun ini, saya kembali diberi peranan sebagai Setiausaha Sukan. Jawatan yang saya lihat sebagai sangat mencabar. lebih lebih bagi dalam suasana dunia hari ini. Dua tahun kehilangan rasa. Hilang rasa untuk kerana ditebak dengan satu ancaman dunia. Ditegur oleh Allah S.W.T dengan cara yang sebegini. Dan sebagai manusia biasa, kita harus belajar untuk patuh dan menerima hakikat. Dan dua tahun ini telah membiasakan diri kita untuk hidup dengan segala macam prosedur, pematuhan kepada segala macam undang-undang. Dan banyak yang boleh kita pelajari dari semua ini. Berbalik semula pada penjagaan kebersihan diri. Ini sebahagian dari iman.Terima kasih team Kokurikulum 2021/22. We did such a great job. walaupun tiada pencapaian peringkat antarabangsa, saya yakin semua faham situasi yang dialami.
Thank you Team!! Setiap kepedihan dan rasa sedih itu akan sembuh seiring dengan berlalunya masa. Time will healing. Akan dan telah aku campak apa sahaja rasa yang menjatuhkan. Biar terus menjadi pengalaman dan kenangan. Dan pastinya semua memberi pengajaran berguna buat aku. Allah tak akan meletakkan kita ditempat paling bawah tanpa sebab. Pastinya Allah akan meningkatkan darjat kita. Jangan pernah bersangka buruk dengan Allah.
Dan untuk sesi 2022/2023 ini, apa yang saya harapkan bukan lagi seperti masa mula mula ditempatkan disekolah ini. Bukan kerana telah luntur semangat, tapi lebih kepada redha dengan apa sahaja yang diberi. Seterusnya, pengharapan saya pastinya pada peningkatan kualiti kerja, penyerahan jiwa kepada tempat saya mencari rezeki dan seterusnya, untuk saya terus berharap dan berdoa agar segala urusan tahun ini dipermudahkan. Saya yakin banyak lagi yang saya boleh beri, yang saya boleh tawarkan. Dan saya yakin juga menjadi guru adalah jalan yang saya pilih. Moga saya terus mendapat sokongan dari semua! So 2022, bring it on!!
"Jika semua yang kita rancang tidak menjadi, ingatlah.. manusia merancang dengan cita, tetapi allah merancang dengan cita-cita"

Wednesday, March 2, 2022

MENOLEH 2021 : KERJAYA - PERSAHABATAN - PERIBADI

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!


Allahuakbar, besarnya nikmatMu. hebatnya PerancanganMu. Jauh.. sangat jauh dari yang aku sangka. Sangat jauh juga dari yang aku duga. Dalam rasa pahit yang Engkau mulakan di awal tahun 2021, Kau hadiahkan pula akhirnya dengan kemanisan hidup yang aku sendiri tidak bayangkan. Benarlah perjalanan ini sangat indah andai kita tahu mensyukuri.

Ya. Diawal 2021, saya diajar untuk menilai rasa kecewa. belajar untuk "sedar diri". Selama ini, saya meyakini betapa hebat dan bagusnya saya. Menjadi aset kepada tempat saya menabur rezeki. Tetapi 2021 membuktikan saya tiada apa apa. Saya tidak diberi sebarang jawatan yang mencabar. Saya tertanya pada diri, apa yang menyebabkan saya diasing begini. Tapi saya pendam rasa terkilan dan kecewa itu. Saya telan agar ia tidak mengganggu gerak kerjaya saya. Saya tetap usahakan senyum agar satu masa nanti senyum itu menjadi ikhlas.  


Dan tidak berlalu begitu lama, tuah menerpa. Ada yang terhidu kesungguhan saya. Dan saya yakini Allah dengari setiap doa saya. Saya dibuka peluang yang besar dalam kerjaya yang baru menginjak 5 tahun ini. Terima kasih DIDIKTV atas peluang hebat ini. Banyak yang saya pelajari, banyak juga yang saya kutip dan timba sepanjang 2021. Tipulah andai saya katakan saya tidak berbangga dengan diri sendiri. Ini rupanya hikmah yang Allah anugerahkan sedang saya masih bersoal tentang keadilan. Ampunkan aku Ya Allah. Terima kasih untuk episod hidup yang aku anggap paling cemerlang dalam kerjayaku. 5 episod aku jayakan dan menjadi jurubahasa isyarat juga untuk beberapa episod. Kecemerlangan kerjaya yang memberi satu kepuasan buat saya.




2021 juga memberi peluang untuk saya kenal seorang sahabat, yang banyak memberi semangat. menjadi kekuatan untuk saya dalam kerjaya. Terima kasih Cikgu Rahman yang banyak menghulur bantuan, berkongsi rasa dan idea. Yang tahu kesungguhan dan minat saya dalm kerjaya ini.  InshaAllah, ada doa yang saya panjatkan moga sahabat dan seorang adik ini dapat mencapai segala apa yang diimpikan. Banyak yang hendak diperkatakan, tapi saya tahu kata kata ini tidak akan menandingi apa yang sahaja nikmat yang telah Allah berikan. 


harapan saya, moga 2022 memberi satu perjalanan kerjaya yang lebih baik dan dipermudahkan. 

Saya nak beli kereta baru. Hahah!

dan jika dapat, saya nak menjejakkan kaki ke Makkah. Moga ada doa yang baik dari kalian semua!


 


Monday, March 23, 2020

SEBUAH AMANAH : TANGGUNGJAWAB ATAU BEBAN?

Hari ini, 23 Mac 2020.. Adalah detik paling sugul di seluruh dunia. Kita berhadapan dengan pandemic - Covid19.. Virus Corona yang telah menjadi musuh atau sebenarnya sebuah peringatan buat kita semua. Rasa salah dan ketidakbertanggungjawaban kita terhadap alam. Inilah peluang yang Allah beri untuk kita sedar, untuk kita bangun dan untuk kita kembali kepadaNya. Termasuk juga buat diriku yang sering lupa atau sebenarnya terleka dengan tugas dan tanggungjawabku. Mengambil mudah segala rasa.


Ya Allah, Ampunkan kami Ya Allah. Teruslah berikan kami kekuatan dan pengharapan. Beri kami peluang untuk segalanya kembali baik. Aminn...


Dan dalam kesepian yang mencengkam dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Restriction Movement Order (RMO) ini, saya masih diberi peluang untuk mencoret di laman blog saya ini yang sudah lama tidak tersentuh.

Dan disinilah saya.. 2020

Amanah saya untuk tahun ini..   Setiausaha Sukan. Jauh disudut hati, amanah ini sangat besar. Malah, bila ditawarkan pada tahun lepas, saya menolaknya. Bukan saya tidak mampu, tapi saya berada pada satu fasa yang mana saya ingin menapak ke belakang. Merajuk? Mungkin. Tapi hakikatnya saya penat. Dan ada perkara lain yang ingin saya kejar. Namun, siapa saya untuk menidakkan takdir Allah. Dan bernulalah ujian saya sebagai Setiausaha Sukan. Inilah pengharapan pensyarah saya dahulu sebenarnya. Beliaulah yang bersungguh untuk melihat saya berada disini. Dan hanya selepas tahun kelima, baru saya membuka fail Setiausaha Sukan.

2016 : Ketua Panitia Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan
2017 : Ketua Panitia Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan
2018 : Penolong Setiausaha Kokurikulum
2019 : Penolong Setiausaha Sukan
2020 : Setiausaha Sukan.

Ujian sebenarnya bukan datang dari amanah dan beban ini. Tapi lebih kepada mereka disekeliling yang hakikatnya membunuh semangat ini. Saya menangis. Rasa tertekan dan jatuh tersungkur. Banyak tangan yang bertepuk tangan. Bangga mungkin melihat seorang saiful dianggap gagal. Saya dianggap tidak pandai mengurus. Diberi arahan yang menyinggung rasa. Reputasi saya rosak. Tapi benarlah, darah pendekar itu kuat. Atau sebenarnya semangat yang hadir dari anak murid saya yang sangat percaya dengan kebolehan dan kemampuan saya. Dan saya dedikasikan rasa puas hati dan semangat yang tidak terhiris ini buat semua yang tahu menghargai. Saya tidak menjadi cikgu untuk bermain politik. Tapi saya hanya mahukan anak murid saya tahu, penglibatan mereka dalam setiap Kejohanan adalah benteng kekuatan saya untuk menjadi cikgu yang lebih baik. Kalau bukan di dunia ini, mungkin disana nanti,. Doakan saya.

Dan inilah dua Kejohanan pertama saya untuk tahun 2020 ini.
Kejohanan Road Run SMPKVSA 2020 dan Kejohanan Olahraga Tahunan SMPKVSA Kali Ke 33 / 2020.


Saya mungkin dipandang lemah dalam pengurusan acara. Tapi saya tahu, itulah yang akan menjadi kekuatan saya untuk meneruskan karier saya. Saya berjuang untuk menjadi cikgu. Penat dan peritnya hanya Allah yang tahu. Dan setelah Allah tunjukkan jalan dan memakbulkan doa saya untuk menjadi cikgu, mengapa saya harus mengalah? 



"Orang lain boleh mencuri segala idea dan perspektifmu, tapi dia tidak akan mampu mencuri semangat, kesungguhan dan iltizammu. Inilah kekuatan. :D"


Setiap hari adalah permulaan untuk saya terus maju.



KEJOHANAN ROAD RUN SMPKVSA 2020
KEJOHANAN OALHRAGA TAHUNAN SMPKVSA KALI KE 33 / 2020

Dan jauh disudut hati ini, Terima kasih buat semua yang sentiasa menyokong dan percaya dengan kemampuan saya. Yang sentiasa tahu kesungguhan dan keghairahan saya. Yang tidak pernah mematah semangat saya. Yang tahu bahawa semua ini akan berakhir dengan baik. Dan pastinya yang memberi rasa untuk saya tidak putus semangat. Kalianlah malaikat utusan Allah untuk saya. Moga satu masa nanti, ini akan menjadi cerita dan gelak tawa buat kita semua.  Thank you guys! 


Hello Najib Syawal! Sorry.. tahun terakhir as student Sekolah Menengah tapi tak dpt join acara.. injured pulak tarik tali hari tu.. hurmmm

Ini je laa gambar yang mampu

Habis penat, kita minum minum dulu..

Belakang tabir

Belakang tabir







Disini Akhirnya..

Alhamdulillah.. 17 Ogos 2015 mencatat satu lagi tarikh penting dalam hidup saya. Setelah lebih 12 tahun menjadi guru kontrak, guru ganti, guru sandaran.. inilah tarikhnya sy mula melapor diri di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Sek. Men. Pendidikan Khas Vokasional. Disinilah destinasi yang Tuhan tentukan utk saya.




Perjalanan ini baru bermula buat saya. Masih banyak yang perlu dipelajari. Tapi saya percaya permulaan ini pasti akan menjadi dan menjanji sesuatu yang baik buat saya. InshaAllah.. :D
Batch posting Ogos 2015.. Semua kahwin dah.. Tinggal aku sorg.. 

Thursday, August 18, 2016

365 HARI MENCARI REDHA

Alhamdulillah.. setahun sudah masa berlalu sejak hari pertama saya menjejakkan kaki di Sekolah ini. Sekolah yang telah menjadi hidup saya, jiwa saya dan disinilah Allah letakkan rezeki saya.. Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional, Shah Alam.

Perjalanan ini tampak singkat. Nampak mudah. Jelas menggembirakan bagi mereka yang melihatnya kerana saya sudah membiasakan diri untuk tersenyum walau luka dikaki jelas berdarah. Itulah saya, saya tidak bercita-cita atau berimpian tinggi. Saya kagum melihat seorang doktor, pensyarah dan mereka yang berjawatan tinggi. Mereka hebat sedang saya tidak mampu. Saya hanya ingin cuba buat dunia gembira. Biarkan dinding kesedihan itu tetap wujud, Sekadar hargai rasa gembira. Itu harapan saya, senyumlah semua, simpan kedukaan itu, kerana Allah pastikan akan menghantar 'doktor'Nya bagi merawat duka kita.

Setahun disini saya kutip dengan pelbagai rasa pahit, manis, tawar dan masin. sehingga kadang-kadang, saya jadi pelupa dengan setiap rasa tersebut. Ia tergaul baik dan sebati mungkin. Menyebabkan saya tidak kenal makna putus asa lagi. Saya di suruh untuk belajar menyatakan 'TIDAK" apabila diberi sebarang tugasan dan tanggungjawab. Saya cuba diajar untuk menolak sebarang bantuan. Tapi inilah pelajaran paling sukar buat saya kerana saya tahu saya tidak mampu. lalu saya terus dengan cara saya membantu selagi mampu, bekerja selagi boleh. Dan saya pesan buat semua.. Jangan jadi macam saya!

Pelbagai ilmu yang saya cari. Pelbagai ilmu juga yang cuba saya kongsi. Dari setitis air sehingga sebesar langit, saya tahu saya tak akan mampu menyatukan semua.. tapi setiap ilmu yang ada itu saya simpulkan.. ini bukan lagi masa mencari pengalaman.. ini masa menggunakan segala pengalaman yang ada. Byk yang telah saya kumpul.. bukan mencari peluang untuk menonjol.. sekadar ingin berkongsi ilmu yang saya ada.

Doakan saya agar terus diberikan kekuatan untuk terus berjuang dibumi ini. Diberi segala rahmat dan hidayah untuk tidak jemu mendidik. Dan diberi ruang masa untuk saya isikan demi cinta saya..

Ya Allah, kau kurniakan aku dengan kebebasan hidup.. Kau berikan segala nikmatMu sehingga aku terkadang lupa untuk bersyukur.. jadikanlah aku guru yang mampu menjadi contoh buat pelajar-pelajarku, dan manusia sekelilingku. 


Saturday, October 25, 2014

TERIMA KASIH CIKGU! :D

Lama betul dan tak update blog.. Bukan takde cerita, banyak sebenarnya.. konvokesyen day, hari raya, hari persaraan guru besar, rumah hantu and hari guru pun byk gak story to be shre.. and banyak gak laa peristiwa yang berlaku.. cuma kesibukan harian dan kesukaran nak access internet menghalang nak menulis kat sini.. so, this time rasa nak publish cerpen hasil nukilan aku sendiri.. Memang dah lama minat nak tulis cerpen.. even masa zaman sekolah dulu, ada gak laa cerpen yang aku buat dimasukkan dalam majalah sekolah.. cuma entahlah.. sekali lagi.. masa menjadi penghalang.. hmmm.. bila ada seorang cikgu minta tolong buat assignment dia berkenaan penghasilan cerpen, aku ambil peluang untuk menghasilkan sebuah cerpen.. and orang yg berkarya ni biasanya imaginasi dia tinggi. so, and aku akui, sepanjang menulis cerpen ni, anak murid aku yang nakal.. MUHAMMAD SYAHMI BIN KHALID .. yang aku kenal masa dia darjah 4 / 2009.. ex-student Bukit Jelutong yang bertukar ke SK TTDI Jaya.. So, sepanjang cerpen ni dibuat, aku ambil kisah aku dgn syahmi dan tentunya ada yang aku tambah dan reka.. :)... enjoy laa hasil pertama aku di dunia maya ni..

P/S : If you guys read this story before, maybe karya aku ni dah dipublish somewhere sebab as aku bgtau awal tadi.. cerpen ni adalah assignment seorang cikgu yang aku bantu..  



TERIMA KASIH CIKGU


Syahmi menghentikan keretanya dibahu jalan. Betul-betul bersebelahan dengan pintu pagar masuk Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail Jaya itu. Dia keluar dari keretanya dan berjalan masuk berjumpa dengan pengawal yang bertugas. Kehadirannya ke sekolah pagi itu hanya atas satu tujuan. Untuk mencari seseorang. Seseorang yang telah banyak mengubah dirinya. Seseorang yang membangunkannya dari lena dan leka. Seseorang yang pernah menjadi musuhnya. Tapi hari ini, dia hadir hanya untuk mengucapkan kata-kata keramat. Kata-kata yang Syahmi sendiri percaya bisa membayar segala pengorbanan yang dilakukan.


Syahmi berdiri di tepi pondok pengawal keselamatan yang telah ditinggalkan hampir sembilan tahun lalu. Betul-betul disebelah laluan masuk murid-murid. Dia di situ seawal jam 7.15 pagi. Murid-murid yang lengkap berpakaian sekolah masuk bertalu-talu. Syahmi memerhatikan kereta guru yang masuk. Beberapa kenderaan terus menghimpit pintu pagar sekolah itu. Dari kejauhan Syahmi melihat kelibat sebuah kereta Proton Perdana merah masuk. Walaupun samar, dia masih dapat melihat pemandunya dengan jelas  Seorang guru lelaki meletakkan keretanya dihujung bangunan. Walaupun sudah bertukar kenderaan, dia yakin, itulah orang yang dicari dan ditunggu. Dia memerhatikan dari jauh beberapa kanak-kanak yang datang ke arah guru itu untuk membantunya membawa buku. Syahmi hanya tersenyum. Kenangan dahulunya terus hadir kembali.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

“Cikgu tak cukup lagi ke nak hina saya? Bukan cikgu yang bagi saya makan. Cikgu tak tahu apa yang saya terpaksa buat setiap hari. Pergi sekolah, balik rumah, kerja sampai malam.” Air mata terus mengalir. Syahmi sudah tidak segan meluahkan rasa hatinya. Semua rakan-rakan di dalam kelas terdiam. Ada yang berbisik sesama sendiri. Cikgu Zulkifli sekadar memandang tepat pada wajah Syahmi. Sedikit geram. Tapi dibiarkan muridnya itu meluahkan segala rasa hati. Menyesal kerana tidak pernah mengambil tahu tentang kehidupan anak muridnya itu. Setiap hari ada sahaja kata-katanya yang menyakitkan hati Syahmi. Geram dengan sikap Syahmi yang sangat aktif bersukan sehingga melupakan akademik. Kerja rumah yang diberikan pun tidak disiapkan oleh anak muridnya itu.

Tapi hari ini, baru beliau sedar. Ada perkara yang disimpan dan dipendam anak muridnya itu. Setiap hari ada sahaja perbuatan anak muridnya itu yang menjadi tegurannya. Ada sahaja kesalahan walau sekecil manapun, menjadi bahan untuknya marah sehingga hari ini segala yang dipendam oleh Syahmi diluahkan olehnya.  Kasihan Syahmi. Pelajaran pada hari itu berakhir begitu sahaja. Kelas hanya senyap dan sunyi. Tiada bunyi selain bunyi pusingan kipas. Tiada siapa juga yang berani bersuara. Malah kebenaran untuk ke tandas seolah tidak lagi wujud. Semuanya tunduk menyembunyikan wajah. Memandang buku kerja dihadapan. Syahmi juga begitu. Tunduk menghadap buku. Lahir titisan air mata jatuh ke atas bukunya. En. Zulkifli cuba berbuat seolah tiada apa yang berlaku. Dia hanya mengarahkan murid-muridnya menyiapkan buku aktiviti sehingga loceng berbunyi.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Apa yang berlaku di dalam kelas 6 Bestari tadi cukup mengganggunya. Timbul kesal namun sebagai seorang guru, dia bijak menyembunyikan rasa ego itu. Syahmi mungkin dilihat sebagai murid yang kurang ajar kerana berani meninggikan suaranya. Namun, hakikatnya, anak murid itu terpaksa berbuat demikian. Mungkin sudah hilang rasa hatinya untuk memendam segala. Malah, selama ini, apa sahaja yang dikatakan, tidak pernah dilawan Syahmi. Dia lebih mudah mendengar dan menunduk. Kurang bercakap. Cuma sikapnya yang jarang menyiapkan kerja sekolah benar-benar mengecewakan. Apa yang dilihat, Syahmi begitu aktif bersukan. Apa sahaja objek yang ada didepannya ditendang. Seolah sedang bermain bola. Memang Syahmi merupakan ayam tambatan di sekolahnya, namun En. Zulkifli khuatir jika dia leka. Tahun ini amat penting baginya. UPSR akan ditempuh tidak lama sahaja lagi.
Encik Zulkifli keluar dari Bilik Guru. Dari kejauhan En. Zulkifli memandang Syahmi yang duduk bersendirian bersebelahan bengkel Kemahiran Hidup. Syahmi duduk di lantai laluan blok menghala ke arah padang. Tiada siapa yang menemaninya. Syahmi hanya bersendirian. Terdapat dua tiga orang murid yang berlari-lari di kawasan yang sama. Berkejaran pada waktu rehat. En. Zulkifli menggelengkan kepala. Melihat sikap Syahmi yang terus berubah sejak apa yang terjadi dua hari lalu itu menambahkan rasa kesalnya. Malah sepanjang waktu matapelajaran Bahasa Melayu yang diajarnya tadi, Syahmi langsung tidak bersuara. Sedangkan sebelumnya murid inilah yang membuat kelas 6 Bestari riuh. Ada sahaja kata-katanya yang melahirkan hilai tawa murid-murid lain. En. Zulkifli buntu. Menyesali kata-katanya terhadap anak muridnya itu. Sesuatu perlu dilakukannya. Dia tidak mahu anak muridnya yang seorang itu terus murung. Syahmi memang seorang murid yang aktif dan baik. Pencapaian akademiknya juga tidak jauh ketinggalan. Cuma sikap acuh tak acuhnya sahaja yang membuatkan dirinya tidak dapat bersaing dengan rakan-rakan lain.

Di hujung blok Kemahiran Hidup itu, Syahmi hanya duduk diam membisu. Tidak diendahkan sesiapa sahaja yang lalu dihadapannya. Malah panggilan rakan-rakannya yang mengajaknya turut serta makan di kantin tidak dipedulikan. Bibirnya tertutup erat. Ada getar dihatinya. Masih terngiang-ngiang kata-kata En. Zulkifli walaupun sudah dua hari berlalu. Panas hatinya. Padanya, cikgu itu tiada hak untuk memperlekehkan dirinya. Malah kata-kata En. Zulkifli itu didengari oleh semua rakan sekelasnya. Ia ibarat satu penghinaan buat dirinya.
“Sukan tak akan membawa kamu kemana. Utamakan pelajaran kamu. Tahun ini kamu akan menghadapi UPSR. Kamu hendak masa depan kamu gelap? Hendak jadi tukang cuci tandas?”

Kata-kata ini terus menghiris hati dan perasaannya. Menguji kesabarannya. Berulang-ulang ditelinganya. Hanya kerana dia terlewat masuk ke kelas pagi itu, dia ditengking dan ditohmah dengan kata-kata sebegitu. Apa yang lebih menjadi kesalnya, mengapa pekerjaan tukang cuci tandas menjadi bahan ejekan. Hinakah seorang tukang cuci tandas? Bunyi loceng terus mematahkan lamunan Syahmi. Dia bergerak dan beredar terus ke kelas. Seperti masa matapelajaran Bahasa Melayu sebelum rehat tadi, Syahmi masih tidak berubah. Dia terus berdiam seorang diri. Teguran Puan Hasnah yang merupakan guru matematiknya juga hanya dipandang sepi. Berkaca air matanya seketika ditegur cikgu Hasnah namun diseka cepat. Hari ini Syahmi benar-benar sudah jauh. Tiada langsung fokusnya untuk mendengar kata-kata gurunya. Hatinya patah. Dia hanya mahu pulang hari ini. Malas untuk berdepan dengan sekolah lagi. Dengan rakan-rakan. Dan yang paling utama dengan En. Zulkifli.

@@@@@@@@@@@@@


“Syahmi,..” En. Zulkifli menegur Syahmi dari belakang. Syahmi menoleh dan terus melemparkan pandangannya jauh ke tepi. Cuba mengelak dari melihat wajah En. Zulkifli. Guru yang menyebabkan rasa ingin ke sekolahnya hilang. Satu malam dia berfikir tentang kata-kata En. Zulkifli, malah di dalam mimpinya malam kelmarin, seakan satu kepuasan kerana dapat juga menghinggapkan satu penumbuk tepat ke arah muka guru itu.

“Syahmi, jika kamu ada kelapangan hari ini, saya harap kamu boleh datang berjumpa saya dibilik guru. Ada perkara yang perlu saya bincangkan dengan kamu.”  En. Zulkifli bersuara lembut. Seakan memujuk. Syahmi masih tidak memandangnya.

“Atau mungkin kamu boleh tolong hantarkan buku-buku ini ke meja saya di bilik guru?” En. Zulkifli masih mengumpan. Syahmi hanya menjeling sedikit ke arah tangan En. Zulkifli  yang penuh dengan buku-buku latihan yang perlu disemak.

“Saya nak masuk kelas. Takut lewat. Nanti kena tengking dengan cikgu lagi.” Sindir Syahmi dan terus berlalu. En. Zulkifli hanya terdiam. Beliau sedar yang anak muridnya masih menyimpan rasa dendam terhadap dirinya. Matanya terus melihat kelibat Syahmi yang berlalu meninggalkannya. En. Zulkifli terdiam. Terus berlalu ke bilik guru dengan bebanan buku ditangan sehingga seorang murid perempuan datang menegur dan membantunya.

Selepas waktu rehat itu merupakan masa untuk matapelajaran Bahasa Melayu. Syahmi sudah tidak senang duduk. Hendak melihat wajah En. Zulkifli pun dia tidak mampu, apatah lagi mendengar suaranya untuk sejam akan datang. Dia terus mencapai beg sekolahnya dan meminta Alif yang duduk di tepi tingkap bertukar tempat. Kelas masih lagi bising dengan suara-suara yang biasa. En. Zulkifli masih tidak menampakkan kelibatnya. Sudah lima minit berlalu. Syahmi masih terus berdiam dihujung tepi tingkap. Niatnya hanya satu. Ingin menghalakan matanya menembusi tingkap itu jika En. Zulkifli masuk nanti. Malas untuk memberi fokus kepada gurunya yang seorang itu.

Akhirnya, tepat jam 10.42 pagi, En. Zulkifli masuk ke kelas. Tergesa-gesa. Terus meletakkan bukunya ke atas meja guru dan berdiri. Semua murid 6 Bestari bangun serentak. Syahmi juga berdiri. Perlahan. Sejurus selepas memberi salam, terus sahaja En. Zulkifli menyatakan permohonan maafnya kerana terlewat masuk ke kelas.

“Saya ada urusan di pejabat sebentar tadi. Saya diarahkan untuk membuat sesi pemilihan bagi mencari wakil sekolah dalam acara sukan olahraga yang akan diadakan pada Bulan Mac nanti. Jadi, sesiapa yang berminat untuk menyertai pemilihan ini, saya berharap kamu semua boleh hadir ke sekolah pada hari sabtu ini. Pengumuman lanjut akan saya maklumkan semasa perhimpunan pagi esok.” Panjang lebar penerangan En. Zulkifli. Matanya terus mencari Syahmi yang sudah bertukar tempat duduk itu.

“Syahmi. Kenapa kamu duduk di sana? Tempat duduk kamu dimana?” tegur En. Zulkifli. Syahmi hanya tunduk diam.

“Tukar tempat duduk kamu sekarang. Jangan berbuat sesuatu tanpa meminta izin.” En. Zulkifli meninggikan sedikit suaranya. Syahmi terus mengangkat begnya dan berlalu ke tempat duduk asalnya. Alif juga terpaksa kembali ke tempat asalnya. Rakan-rakan yang lain hanya diam membisu. Tidak mahu melihat kelas menjadi tegang seperti beberapa hari lalu. Semua terkejut dengan tindakan Syahmi yang menjerit memarahi gurunya itu.

“Satu lagi, pastikan kamu datang pada hari sabtu ini untuk sesi pemilihan olahraga.” Syahmi tidak membalas. Terus duduk. Kelas 6 Bestari senyap. Pelajaran pada hari itu berjalan lancar. Cuma Syahmi yang banyak mengelamun dan berfikir. Kenapa cikgu Zulkifli memaksanya untuk datang sesi pemilihan wakil sekolah sabtu ini. Bukankah dia tidak pernah menyokong sebarang aktiviti sukan yang dilakukan? Dialah yang menghinanya, mengherdik dirinya kerana lewat masuk ke kelas. Yang menghalang dirinya untuk terlibat aktif dalam sukan. Dan menyatakan padanya sukan hanya akan menggelapkan masa depannya. Pelbagai pertanyaan yang tidak terjawab itu berkurang apabila loceng sekolah dibunyikan.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Pagi Sabtu itu, Syahmi sudahpun bersedia di tepi padang. Sejak awal lagi, dialah orang pertama yang sampai di sekolah. Syahmi ingat pesan Cikgu Zulkifli pada sesi taklimat semalam yang mengarahkan murid-murid yang berminat untuk sesi pemilihan ini agar datang awal dan membuat persediaan sendiri. Walau hati kecil untuk tidak turut serta dalam pemilihan ini kerana bencinya pada cikgu Zulkifli, dia tetap juga hadir kerana semangat dan iltizam yang tinggi terhadap sukan kegemarannya ini. En. Zulkifli telah mengarahkan dari awal agar mereka berlari perlahan mengelilingi padang dalam 5 hingga 10 pusingan. Dan itulah yang akan dilakukannya. Tanpa menunggu rakan-rakan yang lain, dia terus membuat senaman memanaskan badan dan regangan. Kemudian terus membuat larian.

Sehingga mencapai pusingan ke enam, baru terlihat kelibat beberapa orang murid lagi datang dan turut serta. Hanya kira-kira jam 8 pagi, barulah En. Zulkifli muncul. Sesi pemilihan pagi itu dimulakan dengan sesi memanaskan badan sebelum beberapa acara diuji bagi mencari dan mencungkil bakat murid-murid ini. Syahmi yakin yang dia akan terpilih untuk beberapa acara. Lompatannya yang mencecah sehingga 5 meter adalah yang paling baik dikalangan semua yang hadir. Dalam acara larian juga begitu, persaingan yang diberikan mungkin memberi peluang untuknya berjaya dalam sesi ini.

Sesi yang berakhir kira-kira jam 11 pagi itu ditutup dengan taklimat ringkas dari En. Zulkifli yang menyatakan tentang keputusan pemilihan hanya akan diumumkan kemudian. Walaupun beberapa wajah melihatkan wajah suka dan berkeyakinan, mereka tetap terpaksa menunggu dengan sabar. Segala kemungkinan hanya akan terjawab pada minggu hadapan. Syahmi dan beberapa orang rakannya terus bersiap untuk pulang. Penat latihan pagi itu perlu diganti dengan rehat yang panjang.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Hari minggu yang berlalu pada hari itu tidak banyak yang dilakukan oleh Syahmi. Hanya duduk di rumah menolong ibunya menjaga adiknya yang baru berusia 4 tahun itu. Ayah bekerja. Hanya mereka bertiga sahaja duduk di rumah. Adik lelakinya itu agak aktif menendang bola dan Syahmi terus memohon kebenaran dari ibunya untuk membawa adiknya bermain di hadapan rumah. Takut jika dibiarkan adiknya terus bermain di dalam rumah menyebabkan pasu bunga kesayangan ibu yang diletak di tepi almari di ruang tamu itu pecah. Adiknya begitu gembira apabila Syahmi menyatakan hasratnya.

Mereka terus menyarung selipar dan bermain diluar rumah. Syahmi dan adiknya saling bertukar hantaran bola. Namun begitu, fikiran Syahmi tidak sepenuhnya di situ. Masih menerawang ke arah lain. Berfikir tentang pemilihan acara olahraga dan juga latihan bola sepaknya yang akan mula diadakan petang minggu hadapan.  Dia yakin yang dia akan terpilih dalam kedua-dua sukan tersebut. Namun, tentunya akan menjadi kesukaran buatnya untuk membahagikan masa. Syahmi mula sedar. Betul apa yang dikatakan oleh Cikgu Zulkifli. Masa depannya bukan dalam bidang sukan. Jika dia sibuk mengejar sukan, dia akan mengabaikan pelajarannya. Dia tidak mahu orang menghinanya. Cukuplah ibu dan ayah hidup dengan kepayahan. Dia tidak lagi mahu ibu dan ayah terus bekerja siang dan malam untuk sesuap nasi yang kadang-kadang hampir terlepas. Ubat kelaparan padanya hanyalah tidur. Dia tidak meminta dari sesiap. Malah ibu dan ayahnya tidak mengajarnya untuk menagih simpati. Kerana itu sehingga hari ini tidak semua rakan-rakannya tahu kesukaran hidupnya.

“Kadang-kadang dalam hidup ini kita perlu korbankan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lain. Tuhan ada sebabnya sendiri untuk memberi dan mengambil. Benda yang kita anggap tidak penting yang kita perolehi mungkin boleh jadi perkara terbaik yang berlaku dalam diri kita.” Kata-kata Cikgu Zulkifli semasa dia dipanggil ke bilik guru baru-baru ini masih melekat dihatinya.

“Tapi kenapa saya cikgu? Ramai lagi anak murid yang cikgu ada kan?. Cikgu sendiri yang marahkan saya sebab saya bersukan.” Syahmi menyoal guru muda itu. Cikgu Zulkifli tetap tenang. Tersenyum melihat anak muridnya ini yang jelas menampakkan kematangannya biarpun hanya baru menginjak usia 12 tahun.

“Ada sesuatu yang ada dalam diri kamu, tiada dalam diri orang lain Syahmi. Kesungguhan dan keinginan kamu untuk berjaya membezakan kamu dengan rakan-rakan kamu. Walaupun semua itu baik untuk kamu, tapi kamu tidak boleh menolak sebarang kemungkinan. Saya telah lalui perjalanan yang sedang kamu lalui.” Panjang En. Zulkifli bercerita. Membuka mukadimah. Syahmi masih diam mendengar dan cuba memahami.

“Cikgu percaya pada kamu. Cikgu tahu potensi yang ada pada kamu. Tapi cikgu risau, jika tiada siapa yang memberi panduan, kamu akan mudah hanyut. Peperiksaan UPSR hanya tinggal beberapa bulan lagi. Andai kamu leka dengan sukan, cikgu takut peluang untuk kamu lebih maju akan terhenti.” Syahmi mula tertunduk. Mengangguk kecil. Ada faham yang tercetus dikepalanya.

“Saya minta maaf cikgu. Kalau sebelum ini saya pernah bersikap kurang ajar terhadap cikgu. Saya malu cikgu. Saya tidak mahu semua orang tahu apa yang saya terpaksa lalui.” Syahmi cuba meluahkan sesuatu. Cikgu Zulkifli hanya terdiam. Terus memerhati butir bicara Syahmi yang seterusnya. Dia sendiri menyesali perbuatannya selama ini yang mudah memarahi anak muridnya yang seorang ini.

“Saya tidak marah jika kamu hendak bersukan, tapi seperti yang saya katakan, jangan sampai kamu mengabaikan pelajaran. Jika kamu mampu untuk membahagikan masa kamu dengan baik, tak mustahil untuk kamu Berjaya Syahmi, percayalah kata-kata saya” Cikgu Zulkifli terus memberi semangat kepada Syahmi. Mungkin benar. Cikgu ini hanya cuba mengambil hatinya semula selepas apa yang berlaku dahulu. Namun, Syahmi mengambil ini sebagai sesuatu yang positif. Dia tidak harus terus dibelenggu rasa resah dan kesal terhadap apa yang berlaku. Dia harus terus memandang ke hadapan. Semangat yang diberikan oleh Cikgu Zulkifli harus diambil dengan baik.

 Dia terus berusaha. Sukan dan pelajaran cuba diseimbangkan sebaik mungkin. Ini janjinya pada dirinya sendiri. Pada cikgu Zulkifli yang banyak membuka hati dan mindanya. Dia bukanlah budak kecil lagi. Masa depannya perlu dibentuk dari sekarang.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Sejak itu, syahmi mula kembali seperti dahulu. Menjadi pelajar yang aktif. Pandai bersosial dengan rakan-rakannya. Syahmi juga berusaha sedaya upaya untuk memastikan kerja rumahnya sentiasa diutamakan. Walau masih perlu membantu ibunya digerai pada waktu malam, dia tetap memastikan yang dirinya sentiasa dalam keadaan bersedia di waktu pagi. Ibunya juga mula faham dan senang dengan perbezaan yang ketara itu. Ibu sentiasa menyokong tindakan Syahmi. Syahmi anaknya yang rajin.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Kejohanan Olahraga baru-baru ini telah berakhir dengan satu pengalaman yang cukup manis buat Syahmi. Walaupun tidak mampu untuk merangkul kejayaan sebenar, namun baginya, kejayaan menyumbangkan pingat perak buat sekolah dalam acara lompat jauh dan 200 meter serta pingat gangsa dalam acara 4 x 100 meter cukup memuaskan hatinya. Malah, Cikgu Zulkifli sendiri mengucapkan tahniah buat dirinya yang telah mencipta sejarah kerana inilah kali pertama terdapat anak murid di sekolah ini yang berjaya mendapatkan pingat untuk sekolah. Malah usaha, semangat, komitmen dan disiplin yang ditunjukkan benar-benar memberikan kesan buatnya. Dia menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain. 

Pernah sekali cikgu Zulkifli datang ke gerai ibunya. Bangga melihatkan sikap anak muridnya itu yang sudah pandai membantu ibunya walhal di usia semuda itu, seharusnya dihabiskan dengan bermain bersama rakan. Syahmi juga terharu dengan kehadiran gurunya itu. Memang dahulu inilah guru yang paling dibencinya. Tapi sekarang, semuanya sudah berubah. Dengan sedikit kata-kata semangat dan motivasi, dia telah mampu untuk berubah. Keputusan peperiksaan pertengahan Tahun baru-baru ini juga menambahkan keyakinannya untuk terus melakar kejayaan.

Hari ini Syahmi mampu tersenyum riang. Segala penantiannya selama ini membuahkan hasil. Usaha dan keazamannya yang tinggi. Dan terus kejayaan itu menjadi miliknya, semuanya bermula dengan jasa gurunya yang tidak mudah menyerah kalah. Guru yang banyak membimbing dan memberi panduan kepadanya. Dia terus menempa kejayaan demi kejayaan. Syahmi bersyukur dan berterima kasih.  Walaupun sedih kerana akan meninggalkan alam persekolahan sekolah rendah, dia tetap akan memastikan hubungan yang dibina di sekolah yang memulakan segalanya ini tidak akan terputus. Apatah lagi hubungannya dengan guru yang paling disayangi. En. Zulkifli. Itu janjinya.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

“Cikgu... ” Syahmi bersuara. Menegur lelaki bertali leher yang sedang bergerak ke Blok Bangunan. En. Zulkifli  menoleh. Memandang lama ke arah Syahmi. Matanya dikecilkan sedikit. Cuba mengingati siapa lelaki yang berada di hadapannya itu. Syahmi tersenyum. Manis.

“Cikgu masih ingat pada saya?” Syahmi menyoal. En. Zulkifli mula tersenyum. Ada kepastian dihatinya. Inilah anak muridnya dahulu. Yang banyak mengubah dirinya. Yang mengajarnya menjadi seorang guru. Walau banyak ilmu yang diperoleh semasa belajar di Universiti, tetapi, di sekolah inilah dia berjumpa dengan Syahmi. Mengenal segala perit yang dilalui budak kecil ini. Dan akhirnya, murid yang pernah mengisi hatinya dengan pengalaman hidup ini sedang berdiri dihadapannya. Bertali leher. Kemas.

Syahmi mendapatkan tangan gurunya itu. Di cium erat tangan itu. En. Zulkifli terus menarik badan Syahmi dan memberikan dakapan kasih. Kerinduan jelas terpancar dari wajahnya melihat bekas anak muridnya itu.

“Cikgulah manusia yang telah banyak membentuk saya. Membentuk masa depan saya. Cikgulah pengaruh besar saya hingga saya menjadi manusia seperti sekarang. Terima Kasih cikgu.” Itulah ayat keramat yang ingin diluahkan kepada gurunya itu. Syahmi dan En. Zulkifli terus tersenyum. Masih banyak cerita yang ingin dikongsi. Mereka terus beredar dalam keriuhan pagi sekolah itu.


-tamat-

Monday, March 31, 2014

Selamat Berjuang Akmal Danial..

Diam tak diam hampir 10 tahun perkenalan aku dengan Akmal Danial yang selama ini menjadi anak murid aku, dan sekarang setelah meningkat remaja, menjadi sahabat yang banyak berkongsi cerita, bertukar pendapat dan memberi ilmu.. Jika dahulu, aku yang selalu bercerita dan dia menjadi pendengar, sekarang dengan peningkatan usia, ilmunya juga dah melebihi aku,.. :).. seorang anak murid, adik dan rakan yang begitu bersungguh dalam setiap apa yg dilakukan, berkomitmen sehingga kadang-kadang aku sendiri segan dan malu.. Mungkin kalau dilihat sebetulnya, Akmal Danial bukanlah seorang atlit yang mapu bawa kejayaan buat sekolahnya.. dan dia pon mengakui.. tapi dengan dialah aku belajar betapa dengan kesungguhan yang ada, pasti kejayaan akan diperoleh.. sebak bila ingatkan kemenangan tempat ketiganya dlm acara Lompat Jauh MSSD 2014 lalu.. nampak kepuasan kat setiap tweet dan kata-katanya.. semangat yg selalu aku cuba cari dari setiap murid aku..  
Dan hari ini, 31 Mac 2014.. Akmal akan menempuh dunia baru.. rezeki untuk ke MRSM.. Alhamdulillah.. Akmal ditempatkan di MRSM Serting, Negeri Sembilan.. tak laa jauh mana! haha! belajar disebuah sekolah asrama..  Jujurnya, aku tahu Akmal ada kekuatan dalaman.. walau hakikatnya aku takut sebab Akmal bukan mudah berkawan.. dan bukan semua senang untuk mendekatinya.. 

Selepas ni, siapa pula nak bercerita tentang dunia sukan dengan saya? yang nak ajak saya ke McD malam-malam utk study? yang tak kisah dengar suara saya yang annoying waktu karaoke? yang akan rampas phone saya kalau saya sibuk main phone waktu bawak kereta? yang akan selalu mengadu migrain and headache dekat saya? hmmmm... .. saya hilang Akmal hari ini.. tapi saya yakin saya akan bangga tengok Akmal satu hari nanti... saya pasti.. :)

Jaga diri Akmal baik-baik.. :')


Life would be beautiful, when it is fulfilled with a people like you! :)